Monday, 13 August 2012

News 1 PENGENALAN SENAM SENI 1 MALAYSIA


Senam Seni 1 Malaysia adalah satu gerakan yang menggunakan gerakan tari tradisi dan gerakan seni bela diri rakyat Malaysia sebagai senaman asas dan muzik pelbagai kaum sebagai muzik latar. Senam seni 1 Malaysia diperkenalkan pada tahun 2005.

Ia bertujuan untuk membudayakan cara hidup sihat masyarakat Malaysia untuk kesihatan melalui aktiviti Senam Seni 1 Malaysia.

Objektif utamanya adalah menjadikan senam seni 1 Malaysia sebagai aktiviti menjalinkan kemesraan, persahabatan dan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia , memperkenalkan gerak dalam tarian tradisional kaun-kaun utama di Malaysia sebagai elemen senaman , memasukkan elemen seni budaya dalam aktiviti kecergasan senamrobik iaitu tarian tradisi dan seni bela diri sebagai gerak asas senaman dan muzik Malaysia sebagai muzik latar. 

Menurut Norliza, seni bukan hanya untuk hiburan tetapi juga boleh menyihatkan badan menerusi rentak tarian dengan gerak langkah yang mudah.

"Bersenam dengan iringan lagu sememangnya amat menarik kerana selain dapat menghiburkan hati ia juga membuatkan tubuh kita berpeluh yang akan membuatkan badan kita sihat dan cergas.

"Dengan gabungan pelbagai rentak lagu membuatkan kita tidak sedar menghayunkan langkah dan ia juga dapat menghilangkan tekanan. Program Senam Seni ini juga melambangkan perpaduan kaum rakyat Malaysia.

"Sambil bersenam juga kita dapat mengenali budaya masyarakat kita dan ia patut menjadi amalan dalam sesebuah komuniti," katanya.

Tambah Norliza, kali pertama Senam Seni dilancarkan pada 2009 ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Lalu JKKN turut memperkenalkan Senam Seni 1Malaysia bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang muhibbah menerusi kesenian.

"Kita mahu hidup dalam negara yang aman damai, tanpa konflik dan pergaduhan. Senam Seni tiada langsung unsur politik bahkan ia diwujudkan untuk kesejahteraan masyarakat. Siapa saja pun boleh bersenam. Bahkan kita akan berasa seronok dan bersemangat jika dapat melakukan aktiviti sihat bersama keluarga dan kawan-kawan.

"Gerak tari dalam Senam Seni diolah mengikut piawaian antarabangsa yang mana aktiviti ini juga adalah anjuran bersama JKKN dan My Sihat yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan.

"Barangkali ramai yang tidak tahu, mana-mana jabatan kerajaan atau swasta dan kawasan kejiranan boleh mohon dengan JKKN untuk mengadakan Senam Seni

di tempat mereka di mana kami bersedia untuk menghantar jurulatih. Perkhidmatan yang kami tawarkan adalah percuma kerana ia bertujuan untuk meningkatkan taraf kesihatan masyarakat Malaysia yang antara negara yang penduduknya mengalami masalah obesiti.

"Setakat ini SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) mengadakan aktiviti Senam Seni setiap minggu di kompleks jabatan itu. Mereka yang mahukan perkhidmatan jurulatih Senam Seni paling minimum mesti ada 20 ahli.

"Kepada yang ingin bersenam sendirian, JKKN sediakan CD (cakera padat) rakaman Senam Seni. Ia tidak lama hanya mengambil masa setengah jam untuk bersenam," katanya.

Selain acara senaman, turut diadakan pertandingan mewarna dan melukis kepada kanak-kanak yang datang bersama keluarga masing-masing. Orang ramai juga dihiburkan dengan nyanyian oleh Badan Kesenian JKKN.

No comments:

Post a Comment